Return to site

Cara Menyantuni Orang Kurang Upaya

Seorang yang pekak, mampu memberikan ceramah di hadapan puluhan peserta dengan penuh yakin tanpa sedikit pun rasa gugup. Beliau berdiri di atas pentas dan memberikan ucapan dengan bahasa isyarat sambil diterjemah kepada bentuk suara oleh seorang penterjemah.

Penceremah yang buta tidak kurang hebatnya. Mereka mampu memberikan ceramah berdasarkan slaid yang dibentangkan di layar, tanpa mereka melihatnya. Salah seorang penceramah tersebut merupakan Jurutera IT!

Sebenarnya semua manusia berkeadaan dalam tidak upaya. Seorang celik tidak berupaya membaca tulisan brail. Seorang yang buta tidak mampu melihat. Seorang yang tidak tahu berenang, tidak berupaya menyeberangi sungai. Seorang yang berkerusi roda tidak berupaya menaiki tangga.

Oleh itu, tanggungjawab sebagai masyarakat adalah memperkasakan golongan OKU di samping menyediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka. Reka bentuk bangunan, atau jalan dan sebagainya perlulah mesra OKU dan boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat.

Masyarakat juga perlu belajar cara yang betul untuk berinteraksi dengan mereka yang kurang upaya. Seringkali mereka dilayan sebagai masyarakat kelas kedua. Ramai yang lebih sesuai bercakap dengan penjaga yang normal dari berurusan secara langsung kepada mereka. Mungkin mereka ada ketidakupayaan namun mereka mampu dan berupaya membuat keputusan bagi diri mereka sendiri.

Antara teknik berurusan dengan orang buta adalah:

  1. Perkenalkan diri anda apabila bertemu mereka. Jangan tanya soalan “Awak kenal siapa saya?” Kebolehan intelek mereka tidak sepatutnya diukur dari kebolehan mereka mengenal anda.
  2. Sentuh tangan dan panggil nama mereka sewaktu berurusan dengan mereka. Ini membuatkan mereka tahu anda sedang bercakap dengan mereka dan bukan orang lain di dalam bilik yang sama.
  3. Bagi arahan yang spesifik kepada mereka. “Kaunter farmasi berada 30 meter di kanan anda” lebih membantu berbanding “kaunter farmasi di sebelah sana”.
  4. Jangan takut untuk memberi penjelasan spesifik seperti warna, tekstur, bentuk atau mercu tanda kepada mereka.
  5. Jangan takut untuk guna perkataan seperti ‘buta’, ‘lihat’ atau ‘jumpa’. Mereka mungkin tidak dapat melihat namun mereka masih gembira untuk ‘berjumpa’ anda.

Sekiranya anda ingin membantu seseorang buta:

  1. Perkenalkan diri anda dan TANYA sekiranya mereka memerlukan pertolongan.
  2. Beri pertolongan sekiranya diperlukan.
  3. Sentiasa hormati keinginan seorang buta. Jangan tanya mengapa mereka ingin melawat sesuatu tempat walaupun mereka tidak boleh melihat.
  4. Jangan paksa untuk membantu sekiranya tidak diperlukan.
  5. Gunakan arahan yang jelas. Jalan ke depan, belok kanan, tempat itu di sebelah kiri anda.

Sekiranya anda menjadi pemandu arah kepada seorang buta:

  1. Benarkan mereka pegang lengan anda dan mengikut anda sewaktu berjalan.
  2. Sekiranya berjalan di tempat sempit, bawa lengan anda yang dipegang ke belakang badan. Mereka akan mengikut anda di belakang.
  3. Berhenti sebentar sebelum turun atau naik tangga.
  4. Beritahu mereka samada tangga itu turun ke bawah atau naik ke atas.
  5. Beri mereka masa untuk memegang pemegang di tepi tangga dan meletakkan kaki dengan kemas.
  6. Jangan tarik tangan, baju, bahu atau lengan mereka untuk menunjukkan jalan yang betul.
  7. Jangan tarik tongkat mereka atau tali anjing pembantu sekiranya mereka dibantu oleh anjing.

Untuk berurusan dengan seorang yang pekak:

  1. Jangan panggil mereka dengan nama yang negatif contahnya si pekak atau si bisu. Ramai yang berkebolehan membaca gerakan mulut anda.
  2. Untuk memanggil mereka, elakkan menepuk tangan, memukul meja, menghentak kaki atau membaling objek kepada mereka.
  3. Berkomunikasi di tempat terang yang membolehkan mereka melihat anda dengan jelas.
  4. Sentiasa wujudkan ‘eye contact’ sewaktu berkomunikasi.
  5. Jangan menutup muka, mulut (face mask), atau memegang benda lain sewaktu berkomunikasi.
  6. Cuba belajar bahasa isyarat yang asas bagi memudahkan komunikasi.

Semoga perkongsian ini bermafaat kepada semua. Sekiranya anda rasa tip-tip yang dikongsikan dapat membantu mewujudkan persekitaran yang lebih mesra OKU, kongsikan status ini.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly