Return to site

Cara Beri Ubat kepada Kanak-Kanak

Sepanjang proses pembesaran, kanak-kanak sudah semestinya tidak terlepas dari risiko menghidapi penyakit. Sepertimana orang dewasa, penyakit mereka memerlukan kepada rawatan dengan ubat-ubatan. Ibu-bapa pastinya merasa runsing setiap kali anak mereka sakit bukan sahaja kerana bimbangkan kesihatan anak-anak malah turut menghadapi kesukaran untuk memberi ubat-ubatan kepada anak mereka.

Untuk memastikan ubat-ubatan dapat memberikan kesan yang efektif dan optimum, ia perlulah dimakan mengikut aturan dan dos yang telah ditetapkan. Oleh yang demikian, ibu-bapa atau penjaga perlu mempelajari teknik-teknik untuk memudahkan pemberian ubat kepada kanak-kanak. Ini kerana sekiranya seseorang kanak-kanak mengalami pengalaman yang tidak menyelesakan sewaktu dipaksa untuk memakan ubat, besar kemungkinan kanak-kanak tersebut akan lebih memberontak untuk diberkan ubat pada masa akan datang.

Perkara pertama yang perlu diambil tahu oleh ibu-bapa adalah pemilihan alatan pendosan yang sesuai. Beberapa contoh alatan tersebut adalah seperti di dalam gambar di bawah.

Picagari – ia mempunyai senggatan untuk mengukur dos ubat dengan tepat. Ubat boleh diberikan kepada bayi dan kanak-kanak dengan memancutkan ubat secara terkawal kearah pipi atau bawah lidah untuk mengurangkan rasa ubat.

Dropper/penitis – mempunyai fungsi seperti picagari tetapi lebih mudah digunakan kerana hanya perlu dipicit untuk menyediakan dos ubat.

Dosage cup/bekas pengukur – untuk kanak-kanak yang sudah boleh minum menggunakan bekas. Bekas ini mempunyai senggatan untuk mengukur dos.

Sudu / sudu teh – boleh digunakan untuk memberi ubat kepada kanak-kanak yang boleh minum menggunakan bekas. Pendosan tidak tepat kerana tiada senggatan untuk ukuran dos. Satu sudu penuh ubat adalah berjumlah 15ml manakala satu sudu teh ubat berjumlah 5ml. Risiko ubat tertumpah adalah lebih tinggi.

Pemilihan alat pendosan yang betul dapat memastikan ubat diberi dalam dos yang tepat. Selain itu, ia akan memudahkan proses pemberian ubat dan mengurangkan risiko ubat tertumpah sewaktu ubat diberikan.

Selain dari pilihan alat yang betul, ibu-bapa juga perlu kreatif dalam memastikan kanak-kanak tidak memberontak atau menolak sewaktu diberikan ubat. Ibu-bapa perlu mempunyai sikap yang positif untuk mempengaruhi psikologi anak-anak. Ayat-ayat pujukan bersifat mendorong didapti lebih berkesan untuk memujuk kanak-kanak mengambil ubat-ubatan berbanding amaran dan ugutan.

Untuk kanak-kanak yang sudah boleh membuat pilihan, ibu-bapa boleh memberikan kuasa pemilihan alat pendosan kepada mereka. Selain itu sekiranya terdapat beberapa perisa untuk ubat yang sama, berikan ruang kepada mereka untuk membuat pilihan perisa yang digemari mereka. Kuasa untuk membuat pilihan ini akan membuatkan kanak-kanak lebih mudah untuk menerima ubat tersebut.

Selain itu anda boleh berbincang dengan doktor atau ahli farmasi berkenaan pilihan ubat yang mempunyai perisa yang lebih disukai oleh kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang memang terlalu sukar untuk memakan ubat, anda boleh berbincang untuk menukar ubat mereka kepada ubat yang tidak perlu diambil terlalu kerap seperti sekali atau dua kali sehari. Ahli farmasi juga boleh memberi cadangan untuk memberi ubat dengan kepekatan lebih tinggi supaya kuantiti ubat dapat dikurangkan.

Sesetengah ubat juga boleh dicampurkan dengan makanan untuk menghilangkan rasa pahit ubat. Walaubagaimanapun anda perlu merujuk kepada ahli farmasi terlebih dahulu bagi memastikan samaada ubat tersebut boleh dicampurkan dengan makanan atau tidak. Teknik ini juga boleh digunakan untuk sesetangah ubat berbentuk pil yang boleh dipecahkan atau dilarutkan dan dicampur di dalam mkanan atau minuman.

Terdapat juga ibu-bapa yang kreatif memberikan anak mereka sesuatu yang sejuk seperti aiskrim terlebih dahulu bagi mengurangkan kepekaan rasa lidah sebelum memberi ubat. Selain itu, ada juga yang memberikan sesuatu yang manis seperti coklat atau madu sejurus selepas ubat diberikan. Perbuatan ini akan dapat memudahkan ubat diberikan kepada kanak-kanak.

Penggunaan picagari atau dropper dapat mengurangkan rasa ubat sekiranya ubat dipancutkan ke arah dalam pipi ataupun bawah lidah. Cara ini telah digunapakai oleh ramai ibu-bapa dan dikatakan dapat meningkatkan penerimaan ubat oleh kanak-kanak. Walaubagaimanapun ibu-bapa perlu berhati-hati untuk mengelakkan ubat tersebut dipancut terlalu laju menyebabkan kanak-kanak tersedak.

Kanak-kanak yang lebih besar boleh dipujuk dengan cara memberikan penghargaan kepada mereka setiap kali mereka makan ubat. Pujian secara verbal beserta pemberian pelekat yang menarik untuk mereka tampal di kalendar setiap kali mereka memakan ubat yang diberikan akan menyebabkan mereka berasa gembira dan menghargai ubat yang diberikan. Mereka juga akan dilatih untuk menilai sendiri prestasi mereka dengan paparan visual yang menarik.

Diharapkan dengan tip-tip yang diberikan dapat membantu ibu-bapa serta penjaga untuk memberikan ubat-ubatan kepada kanak-kanak dengan lebih mudah. Perlu diingatkan kesukaran pemberian ubat ini adalah sesuatu yang sementara kerana kanak-kanak akan belajar untuk menelan pil seiring dnegan peningkatan umur mereka. Sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut berkaitan ubat-ubatan anak anda, rujuk ahli farmasi berdekatan anda atau hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di nombor telefon 1800-88-6722.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly