Return to site

Berapa Lama Boleh Simpan Ubat?

Saya sering menerima soalan dari orang awam berkaitan berapa lama ubat-ubatan boleh disimpan di rumah. Soalan ini walaupun nampak mudah sebenarnya memerlukan kepada penjelasan yang terperinci kerana terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan tarikh luput sesuatu ubat-ubatan berubah

.

Secara amnya, ubat-ubatan di dalam BEKAS ASAL (sama ada blister tablet/botol yang belum dibuka) akan berada di dalam kondisi yang baik sehingga tarikh luput ubat JIKA IA DISIMPAN MENGIKUT ATURAN YANG DITETAPKAN OLEH PENGILANG.

Sebagai panduan umum, berikut adalah cara simpanan ubat yang betul:

1. Baca label pada bungkusan ubat dengan teliti.

2. Sekiranya perlu disimpan pada suhu bilik, simpan di tempat yang redup dan kering (15-30 darjah selsius).

3. Sekiranya perlu pada suhu 2-8 darjah selsius, simpan di dalam peti sejuk (bukan ruangan sejuk beku).

4. Simpan di tempat yang tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak.

5. Elakkan dari menyimpan ubat di tempat yang terdedah dengan sinaran matahari secara langsung.

6. Jangan simpan ubat di dalam kereta.

7. Asingkan ubat makan/minum dengan ubat untuk kegunaan luaran.

Bagaimana pula dengan ubat yang dibuka?

Ada sesetengah ubat yang mempunyai tarikh luput tersendiri selepas dibuka. Maklumat ini boleh diperolehi melalui label ubat-ubatan. Contohnya terdapat ubat yang berlabel ‘discard 30 days after opening’ yang bermaksud buang selepas 30 hari botol dibuka. Bagi ubat-ubatan yang berlabel seperti ini, tarikh luput adalah jelas.

Namun begitu terdapat banyak produk yang tidak menyatakan tempoh ketahanan setelah dibuka. Mengikut pengalaman saya sendiri, saya pernah menghubungi beberapa syarikat farmaseutikal mengenai jangkamasa ubat mereka boleh bertahan sekiranya botol asal telah dibuka (ubat cecair) atau ubat-ubatan dikeluarkan dari bekas asal. Jawapan yang diterima adalah mereka tidak membuat kajian tentang perkara tersebut dan kestabilan produk selepas dibuka tidak dapat dipastikan.

Oleh itu, saya suka menasihatkan orang ramai supaya membuang baki ubat-ubatan terutamanya di dalam bentuk sirap yang telah dibuka. Jangan simpan ubat-ubatan tersebut di dalam peti sejuk dengan tanggapan ia akan tahan lebih lama sekiranya disimpan pada suhu rendah. Penyimpanan pada suhu dan keadaan yang tidak sesuai akan menyebabkan stabiliti ubat berubah.

Namun begitu, hasil carian saya, terdapat beberapa garispanduan berkaitan penyimpanan ubat yang digunapakai di peringkat antarabangsa. Kebanyakan garispanduan ini dihasilkan daripada kajian-kajian kecil dan bukannya kajian rasmi dari syarikat pengeluaran.

Satu garispanduan yang saya nampak agak jelas dan praktikal adalah yang dikeluarkan oleh National Health Services, United Kingdom. Ringkasan garispanduan tersebut adalah seperti yang tertera pada jadual dalam gambar. Namun begitu, suka saya ingatkan perkara penting yang perlu diambil perhatian iaitu:-

1. Tarikh luput produk seperti yang tertulis pada label perlu dipatuhi terlebih dahulu.

2. Cara simpanan ubat perlu mematuhi syarat yang ditetapkan bagi setiap jenis produk.

3. Semak bau, warna, keadaan fizikal dan rasa ubat. Sekiranya telah berubah, buang ubat tersebut.

4. Tulis tarikh ubat dibuka.

Saya ingin mengingatkan bahawa nasihat profesional dari saya selaku seorang pegawai farmasi adalah untuk tidak menyimpan baki dari ubat-ubatan terutama berbentuk sirap. Simpan ubat yang belum dibuka sekiranya perlu menyimpan bekalan ubat untuk kecemasan dirumah. Penulisan saya ini tidak mewakili praktis atau panduan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly