Return to site

Air Ajaib Akar Kayu

Saya telah menerima satu mesej  mengenai sejenis produk yang dinamakan Air Ajaib Akar Kayu keluaran sebuah syarikat yang menjual beberapa jenis produk kesihatan. Setelah diperiksa, produk tersebut telah dinotifikasi sebagai produk kosmetik.

Iklan yang disebarkan oleh penjual produk mengatakan ubat tersebut berupaya MERAWAT pelbagai penyakit seperti ketuat, resdung, cagu, luka-luka dan sebagainya. Arahan penggunaan adalah dengan dititiskan pada kulit yang bermasalah atau dititskan pada kapas dan DIMASUKKAN ke DALAM TELINGA atau HIDUNG.

Mengikut peraturan di Malaysia, produk kosmetik ditakrifkan sebagai ‘bahan atau persediaan untuk digunakan pada BAHAGIAN LUARAN tubuh badan manusia dan berfungsi untuk membersih, mewangi, memperbaiki, mengubah penampilan atau mencantikkan, menghilangkan bau badan atau memelihara dan menjaga dalam keadaan yang baik’. Oleh yang demikian, penggunaan produk di dalam rongga badan merupakan satu kesalahan bagi produk kosmetik. 

Agak sukar bagi saya menyiasat kandungan produk yang didaftarkan kerana saya tidak menjumpai apa-apa bungkusan produk tersebut yang menyenaraikan kandungan bahan dalam produk. Mengikut logiknya, produk yang diberi nama ‘AIR AJAIB AKAR KAYU’ sepatutnya mengandungi bahan dari akar kayu. Namun begitu, saya menjumpai satu video testimoni yang agak mencurigakan (Video 1). 

Video tersebut menunjukkan cecair produk akan berbuih sekiranya diletakkan di atas kulit yang bermasalah. Ini merupakan gimik yang boleh mempengaruhi pembeli tentang kejaiban produk tersebut. Saya mengesyaki produk tersebut sebenarnya mengandungi HIDROGEN PEROXIDE (H2O2). Oleh itu, saya cuba membuat satu eksperimen menggunakan H2O2 bagi menunjukkan persamaan tindak balas antara bahan tersebut dengan AIR AJAIB AKAR KAYU. Lihat video 2. 

Lihat tindak balas yang berlaku. Sama kan? Oleh sebab itu saya amat curiga tentang kandungan’AIR AJAIB AKAR KAYU’ tersebut. Sekiranya H2O2 adalah kandungan yang digunakan, sepatutnya tiada masalah bagi pengilang untuk meletakkan kandungan tersebut dalam label kerana H2O2 pada kepekatan tertentu dibenarkan sebagai bahan untuk produk kosmetik. 

APAKAH HIDROGEN PEROXIDE (H2O2)

Hidrogen peroxide sering digunakan untuk mencuci luka pada satu masa dahulu. Ia merupakan sejenis oksiden yang kuat dan boleh digunakan dalam pelbagai reaksi kimia. Apabila diletak di atas permukaan kulit yang sihat dan bersih, ia tidak akan menghasilkan reaksi dan buih. Namun begitu, sekiranya terdapat darah atau tisu yang rosak, reaksi akan berlaku.

Ini kerana ia bertindak balas dengan sejenis enzim yang dipanggil catalase. Catalase akan dirembeskan oleh tisu yang rosak. Tindakbalas H2O2 dengan catalase akan menyebabkan H2O2 terurai menjadi air (H2O) dan juga oksigen (O2). Buih yang terhasil sebenarnya adalah kesan dai penghasilan oksigen. 

Kajian-kajian terkini menunjukkan penggunaan H2O2 tidak menunjukkan keberkesanan dalam merawat luka. Oleh itu, penggunaannya untuk mencuci luka berkurangan pada masa kini. H2O2 ada dijual di farmasi dengan harga yang sangat murah.

Sebagai kesimpulan, masyarakat perlu lebih bersikap skeptik dan kritikal terhadap iklan-iklan produk yang kelihatan terlalu menjanjikan kesan kesihatan yang melampau. Produk kosmetik sama sekali tidak boleh dipasarkan untuk merawat sesuatu penyakit seperti resdung. Tindakan peniaga yang sengaja tidak mempamerkan kandungan produk boleh menjadi satu tanda yang produk tersebut sebenarnya mempunyai kandungan yang ingin dirahsiakan.

Rujukan:

1. Anna Drosou, MD, Anna Falabella, MD, Robert S. Kirsner, MD. Antiseptics on Wounds: An Area of Controversy. Wound (2013)

2. Benjamin A. Lipsky and  Christopher Hoey. Topical Antimicrobial Therapy for Treating Chronic Wounds. Clinical Infectious Diseases (2009)

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly