Return to site

Adiwira Berbaju Kelabu

Berkaitan artikel saya berkenaan proses pendispensan ubat-ubatan beberapa minggu lepas, saya diberitahu terdapat sahabat-sahabat Penolong Pegawai Farmasi yang berasa kecil hati terhadap saya. Ini kerana dalam artikel tersebut saya tidak menulis mengenai peranan penolong pegawai farmasi dalam proses tersebut.

Saya meminta maaf kerana saya terlepas pandang mengenai perkara ini. Walaubagaimanapun, apabila saya menulis mengenai farmasi, atau anggota farmasi, saya tidak hanya memaksudkan pegawai farmasi semata-mata. Semua anggota, tidak mengira gelaran jawatan, terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan perkhidmatan farmasi sentiasa berjalan dengan sempurna.

Penggunaan gelaran jawatan yang spesifik dalam penulisan mungkin nampak penting dalam sesetengah keadaan. Namun apa yang ingin disampaikan dalam artikel itu, bukanlah SIAPA yang melakukan tugas tersebut, tetapi PROSES yang perlu dilakukan.

Tidak dinafikan di sesetengah fasiliti terutama yang tiada atau kekurangan Pegawai Farmasi, tanggungjawab dalam proses pendispensan dijalankan oleh Penolong Pegawai Farmasi yang berkaliber dan mampu memberikan perkhidmatan yang setara, jika tidak lebih cekap berbanding Pegawai Farmasi. Namun begitu, mustahil bagi saya menulis sebuah artikel yang menceritakan situasi-situasi sebegini secara terperinci.

Sewaktu saya tamat belajar, saya beranggapan bahawa saya telah bersedia untuk menjalankan tugas saya sebagai seorang ahli farmasi. Namun begitu, hari pertama saya bertugas, saya sedar ilmu yang saya belajar tidak menyediakan saya dengan lengkap dalam dunia pekerjaan.

Guru-guru saya sewaktu bertugas kebanyakannya adalah abang-abang dan kakak-kakak Penolong Pegawai Farmasi yang sangat berpengalaman. Saya diajar oleh Kak Eton, Kak Makhrizah dan Kak Napsiah dalam urusan di farmasi pesakit dalam. Haji Raub mengajar saya teknik rekonstituso CDR. Pn Ida merupakan guru saya dalam penyedian steril TPN. Abg Mat, Kak Najwa dan ramai lagi melatih saya di farmasi pesakit luar.

Tanpa kewujudan Penolong Pegawai Farmasi, amat mustahil untuk saya menyesuaikan diri dengan tugas saya. Penolong Pegawai Farmasi sebenarnya merupakan tunjang dalam perkhidmatan farmasi yang sempurna. Kerjasama di antara pelbagai jawatan ini saling melengkapi satu sama lain.

Sekali lagi saya memohon maaf di atas kekurangan di dalam tulisan saya. Kekurangan tersebut tidak bermaksud saya tidak menghargai sahabat-sahabat saya yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Farmasi.

Sekian, terima kasih.

All Posts
×

Almost done…

We just sent you an email. Please click the link in the email to confirm your subscription!

OKSubscriptions powered by Strikingly